MP PAS Padang Terap: Kenapa JPA tidak iktiraf ….

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri.

Saya hendak timbulkan satu persoalan yang berbangkit di Universiti Malaya iaitu ada course-course yang ditawarkan iaitu di Akademi Islam yang tajuknya ataupun yang saya sendiri pernah ikuti iaitulah ‘syariah dan pengurusan’ iaitu ijazah yang ditawarkan kepada kami.

Akan tetapi apabila keluar daripada universiti, graduate rupanya dia hanya iktiraf dalam syariah, pengurusannya tidak ada. Maksudnya kami hanya graduate dalam syariah, tidak lagi syariah dan pengurusan, syariah dan ekonomi, katanya tidak mendapat pengiktirafan. Saya minta kalau boleh menteri tolong lihat sedikit aspek ini.

Ada yang syariah dan undang-undang tapi rupanya masuk dalam pasaran kerja JPA tidak iktiraf, jadi kita mintak sikit penjelasan.

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Saya akan lihatlah perkara ini, kerana ini satu perkara yang baru dibangkitkan oleh Yang Berhormat. Mengenai isu pengurangan pengambilan pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan perpindahan pelajar ke Universiti Sains Islam Malaysia yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dalam perbahasan dan bukan dalam pencelahan ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat secara keseluruhan tidak berlaku pengurangan pelajar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Jumlah pelajar baru yang ijazah pertama yang mendaftar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada sesi 2006-2007 adalah seramai 291 orang, manakala sesi 2007-2008 seramai 361 orang dan unjuran kemasukan pada sesi 2009-2010 ialah seramai 455 orang. Dianggarkan terdapat pertambahan sebanyak 20% bagi sesi 2009-2010.

Pada masa hadapan Universiti Malaya sememangnya merancang untuk meletakkan nisbah satu pelajar ijazah pertama dengan satu pelajar ijazah lanjutan sesuai dengan kriteria sebuah universiti penyelidikan.

Mengenai isu perpindahan pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di cawangan Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan ke Universiti Sains Islam Malaysia pihak kerajaan bersedia menerima pelajar-pelajar tersebut sekiranya isu mengenai penajaan dan pembiayaan dapat diselesaikan oleh pihak-pihak yang terlibat. Penempatan pelajar-pelajar berkenaan ke Universiti Sains Islam Malaysia adalah amat bersesuaian memandangkan fokus universiti berkenaan adalah kepada aspek pengajian Islam.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Padang Terap dan Yang Berhormat Lembah Pantai membangkitkan berkenaan dengan pilihan raya kampus dan campur tangan politik dalam universiti. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Kepong agar tiada campur tangan politik dalam universiti sama ada daripada parti pembangkang ataupun pihak kerajaan.

Selaras dengan itu, maka pihak kerajaan menetapkan dalam meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ataupun AUKU untuk menghalang pelajar-pelajar daripada menjadi ahli dan melibatkan diri dalam mana-mana parti politik semasa mengikuti pengajian di universiti.

Mengenai tarikh pilihan raya dan E-voting, kementerian memberi kebebasan kepada setiap IPT dalam urusan IPT masing-masing selagi ia tidak menyalahi peraturan dan akta yang menjadi pegangan dalam hal-hal pentadbiran.

Ini termasuklah dalam urusan wakil pelajar atau lebih dikenali sebagai pilihan raya kampus. Justeru Naib Canselor berkuasa untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya tanpa campur tangan kementerian bagi menentukan tarikh pilihan raya kampus yang sesuai agar tidak mengganggu urusan pembelajaran para pelajar dan menggunakan kaedah pemilihan yang bersesuaian dan adil kepada semua. Pendek kata pilihan raya untuk pelajar tetap diadakan tetapi tertakluk kepada Naib Canselor untuk tentukan tarikh
yang sesuai tanpa mengganggu perjalanan universiti dan juga pembelajaran pelajar.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Laluan. Yang Berhormat Timbalan Menteri baru-baru ini berlaku pilihan raya kampus, peratusan yang keluar mengundi terutamanya di sebelah Pantai Timur begitu mendukacitakan di bawah paras 50%.

Saya melihat ada satu protes daripada mahasiswa sendiri terhadap sistem yang dijalankan termasuklah E-voting dan juga tantang tarikh pilihan raya yang dirahsiakan dan saya sebut dalam perbahasan bajet ada pemilihan perwakilan pelajar yang dibuat selepas mereka tamat ada pula caretaker government, ini satu benda yang mungkin diberi perhatian oleh pihak kementerian. Kurang daripada 50% mungkin ini satu protes daripada mahasiswa sendiri.

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Caretaker itu kerana sepatutnya pemilihan dibuat pada bulan Oktober tapi pada ketika itu adalah bulan September, bulan puasa, hari raya dan ada setengah-setengah universiti akan menghadapi peperiksaan dalam bulan November maka diserahkan kepada IPT masing-masing untuk tentukan bila yang wajar untuk diadakan pilihan raya tersebut dan dalam menunggu usaha untuk mengadakan pilihan raya itu maka diwujudkan ataupun dibenarkan MPP diadakan untuk menjadi caretaker. Itulah kebiasaan dalam amalan demokrasi.

Soal jumlah peratusan yang keluar mengundi adalah tidak tinggi dan sebagainya, dari segi kementerian, kita mengambil sikap untuk tidak mencampuri atau pun untuk memainkan peranan masuk ke universiti untuk menyeru pelajar untuk keluar mengundi kerana saya anggap itu adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh kepimpinan pelajar itu sendiri selari dengan hasrat semua di sini yang mahukan supaya ada kebebasan dan kurang campur tangan kementerian dan politik dalam kampus.

Jadi kita kena pastikanlah jangan ada kontradiksi dalam apa yang kena mahukan, dalam amalan dan sebagainya.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Laluan sedikit Yang Berhormat. Sedikit sahaja. Hendak tanya ada pampasan atau tidak diberikan kepada Universiti Malaya kerana banyak kerosakan yang berlaku termasuklah jurnal-jurnal akademik kerana saya difahamkan oleh Timbalan Pengarah Akademik jurnal-jurnal akademik, tesis yang rosak dalam kejadian tersebut.

Ada tidak mungkin satu bantuan kecemasan yang diberikan oleh pihak kementerian untuk membaiki kerosakan? Terima kasih.

Rujuk: Sesi Pencelahan Penggulungan Menteri pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin3 November 2008 ms 42-44, 47

Tinggalkan komen