MP PAS Baling: Soal Menteri IPT mengenai perlantikan NC tidak ikut kelayakan

13 November 2008, Sesi pagi:

Soalan No. 8 – Tuan Haji Taib Azamudden bin Md Taib [ Baling ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan kenapakah pelantikan Naib Canselor (VC) di universiti-universiti di negara ini tidak mengikut kelayakan para ahli akademik dan masih berasaskan pengaruh politik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I [Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Baling yang bertanyakan soalan berkaitan dengan pelantikan Naib Canselor institusi pengajian tinggi awam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelantikan pengurusan tertinggi universiti khususnya Naib Canselor dan Timbalan timbalan Naib Canselor adalah dilaksanakan oleh satu badan bebas yang dilantik oleh kerajaan dikenali sebagai Jawatankuasa Pemilih ataupun dalam bahasa Inggeris
dengan izin Tuan Yang di-Pertua, Search Committee.

Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada tokoh-tokoh yang terkenal dan berwibawa dalam pelbagai bidang dan juga merupakan pemegang-pemegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi. Asas pemilihan adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria seperti visi, misi, kepimpinan, pengurusan, pencapaian akademik, pengiktirafan, keperibadian dan kemahiran berkomunikasi.

Tuan Yang di-Pertua, calon-calon dikenal pasti akan ditapis melalui beberapa sesi temu duga dan dinilai berdasarkan kepada kriteria tersebut serta prestasi mereka semasa temu duga. Tuan Yang di-Pertua, sebelum tiga bulan tamat perkhidmatan seseorang Naib Canselor itu, kementerian akan menubuhkan
Jawatankuasa Semakan atau Jawatankuasa Carian bagi menilai prestasi Naib Canselor berdasarkan KPI, berdasarkan kepada petunjuk prestasi yang ditetapkan serta amalan terbaik yang lain.

Sekiranya jawatankuasa berpuas hati dengan prestasi Naib Canselor sedia ada, maka jawatankuasa akan mengesyorkan kepada kementerian melalui Yang Berhormat Menteri supaya perkhidmatan seseorang Vice Chancellor itu disambung semula.

Sekiranya jawatankuasa tidak berpuas hati Tuan Yang di-Pertua, maka calon-calon lain yang berkelayakan akan dicadangkan. Melalui penubuhan jawatankuasa tetap ini, proses pemilihan Naib Canselor IPTA pada tanggapan kementerian akan menjadi lebih telus dan berintegriti tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan termasuklah politik. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang telah diberikan. Memang daripada segi prosedur yang dijalankan oleh pihak kementerian untuk sebarang pelantikan kepada jawatan tinggi di universiti-universiti.

Akan tetapi apakah kerajaan sedar pernah berlaku sedikit masa yang lalu, seorang Profesor Madya pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor sedangkan masih ramai profesor penuh yang lebih senior daripada beliau. Apakah pertimbangan yang dibuat terhadap Profesor Madya berkenaan juga perlu di sini untuk mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Apakah relevannya Peperiksaan Tahap Kecekapan ataupun PTK yang begitu banyak dibelanjakan wangnya tapi hasilnya tidak seberapa dan kalau boleh begitu jugalah untuk penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Bukankah kita mengecilkan ruang perwakilan mahasiswa kepada Majlis
Perwakilan Pelajar boleh menyekat pertumbuhan intelektual mahasiswa kita sendiri. Terima kasih.

Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ada tiga soalan di dalam soalan tambahan ini dan saya percaya soalan yang pertama berkaitan dengan seorang Profesor Madya yang telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, bagi tujuan pelantikan-pelantikan Timbalan Naib Canselor, saya telah sebutkan sebentar tadi proses yang sama akan dilakukan. Akan tetapi kalau kita melihat daripada Jawatankuasa Tetap Carian Timbalan-timbalan Naib Canselor dan juga Naib Canselor ini, mereka adalah merupakan orang-orang yang mempunyai kelayakan-kelayakan serta kepakaran dan pengalamannya begitu luas di dalam menilai seseorang calon itu sama ada mereka
layak ataupun tidak untuk menduduki jawatan-jawatan ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya percaya pihak kementerian menerima sebarang calon yang disokong oleh Jawatankuasa Carian ini kerana berdasarkan sokongan dan rekomendasi mereka ini, pihak kementerian mempunyai ruang yang amat tipis untuk mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat.

Jadi saya harap Yang Berhormat Baling kalau perlu, mungkin dia kata pernah berlaku. Jadi saya kira ia tidak berlaku lagi sekaranglah kerana Jawatankuasa Carian ini kalau saya bacakan nama-nama pun
adalah di kalangan orang-orang yang amat dikenali sama ada di pihak Pembangkang dan juga di pihak kerajaan. Mahu baca?

Beberapa Ahli: Bacalah, baca.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron: Yang Berhormat Kepong, boleh baca Yang Berhormat Kepong? Saya sebut Tuan Yang di-Pertua, dengan izin. Tan Sri Dr. Mohd Salleh Mohd Yasin. Beliau adalah merupakan Canselor United Nations University. Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Tajuddin Ali.

Beliau adalah pernah menjawat jawatan Presiden Tenaga Nasional Berhad dahulu. YBhg Datuk Dr. Ir. Haji Ahmad Zaidee Laidin, YBhg Tan Sri Datuk Dr. Lin Sin Yan, YBhg Tan Sri Profesor Datuk Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim, YBhg Datuk Profesor Emeritus KJ Ratnam, YBhg Tan Sri Datuk Profesor Agustine Ong Soon Hock, YBhg Tan Sri Datuk Profesor Dr. Anuar Ali.

Mereka-mereka ini adalah tokoh-tokoh yang terkenal yang saya kira mempunyai pengalaman yang luas, yang boleh membuat keputusan berasaskan kepada fakta dan angka dan tidak mudah dipengaruhi oleh
sebarang pihak.

Tuan Yang di-Pertua, bagi tujuan bagi mengaitkan PTK dan kenaikan pangkat saya kira kementerian telah mengambil satu tindakan yang begitu besar apabila mengiktiraf pemegang-pemegang ijazah PhD dengan meletakkan mereka ke tingkat 52. Mengiktiraf pemegang-pemegang PhD dan pada masa yang sama kita juga mengiktiraf kekananan seseorang pensyarah yang tidak memiliki ijazah PhD.

Bagi mengehadkan Majlis Perwakilan Pelajar di dalam pelantikan Vice Chancellor ini Tuan Yang di-Pertua, ada di dalam perbincangan kita untuk meletakkan seorang wakil MPP untuk menyumbang pendapat dan pandangan mereka terhadap mana-mana pelantikan jawatan-jawatan kanan di dalam IPTA kita. terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Rujuk: 13 November 2008

Tinggalkan komen