MP PAS Rantau Panjang: Kemuka soalan tambahan kepada Menteri Perladangan

13 November 2008, 10.11 pagi:

Ahli Parlimen Rantau Panjang kemuka soalan tambahan kepada imbalan TMenteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 13 Nov 2008.

Teks penuh:
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Soalan tambahan saya, apakah ada satu mekanisme ataupun satu kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan untuk memastikan supaya harga minyak di pasaran domestik ini tidak berubah mengikut keadaan perubahan harga minyak sawit di pasaran antarabangsa sebab kita merupakan negara pengeluar kedua terbesar di dunia.

Jadi apakah ada satu mekanisme untuk memastikan rakyat kita sendiri dapat menikmati harga minyak sawit yang rendah? Jadi sekarang ini dengan penurunan harga minyak sawit, tetapi rakyat masih terpaksa membeli dengan harga yang mahal. Jadi minta penjelasan.

Tuan A. Kohilan Pillay a/l G. Appu: Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya pengguna minyak masak tidak terjejas langsung. Di mana harga yang kita berikan kepada mereka untuk minyak masak itu adalah sama sahaja. Yang perubahannya adalah pada CPO iaitu crude palm oil, minyak mentah.

Jadi apabila kita lihat kenaikan, memang Malaysia dan Indonesia cuba mendapatkan satu harga yang berpatutan. Akan tetapi oleh sebab stok simpanan yang begitu besar, di mana Malaysia mempunyai stok sebanyak 2 million tan dan Indonesia dianggarkan mempunyai lebih kurang 3 million tan, jadi stok yang begitu besar inilah menjadi punca kepada kejatuhan harga.

Namun demikian, kalau kita lihat kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menstabilkan semula harga yang jatuh. Sebenarnya kalau kita lihat harga yang dianggap paling stabil adalah di dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500. Kalau harga minyak terlalu tinggi di pasaran dunia, maka ini sudah pasti akan membebankan consumer atau pengguna.

Kalau harga terlalu rendah, ia akan menjejaskan pula pengeluar. Jadi harga yang berpatutan atau stabil adalah lebih kurang RM 2,000. Kami percaya harga akan kembali kepada RM2,000 dalam jangka masa yang singkat ini disebabkan oleh kejatuhan harga ini merupakan sesuatu yang dipanggil sebagai attractive kepada pengguna untuk membeli. Jadi kami percaya harga ini akan kembali kepada RM2,000 dalam jangka masa yang pendek. Sekian.

Soalan asal:
1. Tuan Salleh bin Kalbi [ Silam ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan apakah mekanisme Kerajaan untuk memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran makanan supaya harga minyak masak tidak melambung naik, yang pasti akan terus membebankan rakyat kita, memandangkan kecenderungan pihak swasta untuk menjual minyak sawit sebagai bahan mentah untuk biodiesel dan bukan untuk pasaran makanan.

Rujuk: 13 November 2008

Tinggalkan komen