MP PAS Padang Terap: Sesi soalan jawab lisan

17 November 2008:

Soalan No. 6 – Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI menyatakan apakah faktor-faktor yang diambil kira dalam penentuan struktur tarif yang baru dan bakal dikenakan kepada pengguna air setelah model pelaksanaan aktiviti sektor air yang baru dan pengambil alihan sektor air oleh Kerajaan Persekutuan berjaya dilaksanakan.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi [Dato’ Shaziman bin Abu Mansor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Padang Terap. Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mengambil alih urusan pembekalan air kepada pengguna daripada kerajaan negeri.

Ini termasuklah negeri Kedah yang sebelum ini agak bimbang sekiranya mereka berhijrah ke rejim baru di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air, mereka akan kehilangan kuasa ke atas syarikat yang menjalankan aktiviti operasi bekalan air di negeri. Tanggapan ini perlu diperbetulkan.

Pembaharuan yang diperkenalkan pada masa ini hanya akan melibatkan aspek pengawalseliaan dan penetapan dasar sektor air. Di samping itu, bagi membantu meringankan beban kewangan kepada industri perkhidmatan air, maka Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan satu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, MKD iaitu Pengurusan Aset Air Berhad atau PAAB untuk membiayai perbelanjaan kapital dan mengambil alih hutang-hutang sedia ada kerajaan negeri.

Industri perkhidmatan air selepas pembaharuan ini akan beroperasi secara aset light, dengan izin.
Tuan Yang di-Pertua, kadar tarif air di bawah Rejim Kawal Selia dan Pelesenan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta 655 tidak akan ditetapkan secara pre-determined dan berjadual.

Sebaliknya kadar tersebut akan dikaji semula dan ditentukan setiap tiga tahun sekali bagi memastikan bahawa tarif yang dikenakan adalah berpatutan dan munasabah kepada pihak pengguna, syarikat operator air dan juga kerajaan. Asas dan parameter utama dalam menimbang sebarang penyelarasan tarif air adalah berlandaskan kepada pematuhan setiap syarat lesen dan petunjuk prestasi utama KPI yang akan ditetapkan oleh SPAN.

Selain daripada itu, ulasan dan pandangan pengguna ke atas prestasi syarikat yang memohon penyelarasan tarif akan turut diperoleh daripada pengguna. Dalam hal yang demikian, pengguna akan diberikan peluang mengemukakan maklum balas melalui satu instrument yang dikenali sebagai Forum Air.

Tuan Yang di-Pertua, kaedah baru dalam menentukan kadar tarif air ini akan dilaksanakan secara telus dan jelas. Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan kaedah baru ini, satu kadar tarif yang berpatutan dan mampu dibayar pengguna akan diperoleh. Ia juga akan turut mengunjurkan pulangan yang berpatutan kepada syarikat-syarikat operator. Terima kasih.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan. Air ini Yang Berhormat Menteri ataupun semua Ahli Dewan adalah merupakan anugerah Allah SWT. Air, tenaga dan padang ragut adalah merupakan anugerah Allah yang sepatutnya dikongsi dan kalau boleh kita mesti bergerak ke arah air ini sepatutnya kita bagi percuma kepada rakyat.

Saya terima kasih kepada Selangor yang mulakan langkah yang begitu baik. Saya hendak tanya. Walaupun kita perlukan kepada pembiayaan untuk menguruskan pengurusan air ini, dalam konsep model yang dibentangkan, model industri air yang baru, saya hendak tanya dalam Dewan yang mulia ini, adakah satu kadar yang tetap maksudnya dalam menentukan elemen profit margin ataupun project return ini yang diambil kira dalam kita menentukan tarif air kerana apa yang kita faham bahawa dalam konsep modul industri air yang baru ini, kadar profit margin ini sepatutnya lebih rendahlah kerana risikonya yang begitu kurang.

Yang kedua, berapakah jangkaan kos bagi pihak kementerian sendiri ataupun Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih dan bagaimanakah Pengurusan Aset Air Berhad iaitu PAAB ini ataupun Kerajaan Pusat membiayai kos pengambilalihan ini.

Yang ketiga bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah ataupun kerajaan-kerajaan negerilah yang terlibat dalam pengambilalihan ini, saya ingin bertanya adakah kerajaan negeri ataupun pihak-pihak yang terbabit ini akan dipanggil untuk sama-sama berbincang dan terlibat dalam menentukan tarif air ini kerana setiap negeri mempunyai permasalahan dan juga rakyat yang berbeza dari segi pendapatannya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Shaziman bin Abu Mansor: Terima kasih Yang Berhormat daripada Padang Terap. Tuan Yang di-Pertua, soalan Yang Berhormat nampaknya soalan tambahannya lebih panjang daripada soalan asal. Saya akan cuba…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri boleh jawab satu saja.

Dato’ Shaziman bin Abu Mansor: Okey, saya akan cuba jawab. Pertamanya, saya berterima kasih dengan Yang Berhormat bahawa Yang Berhormat juga amat prihatin dan peka bahawa air ini keperluan yang begitu perlu bagi seluruh masyarakat dan juga untuk segala makhluk yang hidup di dunia ini. Akan tetapi, betul kalau air itu air hujan memang kita boleh dapat secara percuma tetapi untuk membekalkan air ke mana-mana kawasan, kita perlukan kewangan termasuk di negeri Kedah.

Sebab itu kita, kerajaan apabila kita membuat rejim baru ini, kita adakan Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara adalah bertujuan untuk membekalkan air kepada pengguna dengan air yang berkualiti, boleh diminum, portable dengan izin, dan harga yang berpatutan.

Berhubung dengan perkara ini, suka saya maklumkan kepada Yang Berhormat Padang Terap walaupun kawal selia itu berada pada Kerajaan Pusat sebagaimana Yang Berhormat minta, memang apabila untuk menentukan tarif harga elektrik, Kerajaan Pusat ataupun kementerian ini melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan berbincang dengan kerajaan negeri termasuklah di negeri Kedah yang mana baru-baru ini kira-kira dua minggu yang lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah berjumpa dengan Kerajaan Negeri Kedah dan memberi pandangan dan telah menjelaskan kepada Kerajaan Negeri Kedah kekeliruan Kerajaan Negeri Kedah yang bimbang sekiranya apabila mereka berhijrah ke rejim baru ini nanti, seolaholah mereka kehilangan kuasa. Keuntungan yang mereka dapat nanti akan diambil oleh Kerajaan Pusat.

Kerajaan Pusat tidak ada berhasrat dan bercita-cita untuk mengambil sebarang keuntungan yang diperoleh oleh operasi kegiatan air yang diunjurkan oleh negeri Kedah. Cuma untuk mengawal selia operasi bekalan air yang ada di seluruh negara di setiap negeri pada hari ini kerana pada hari ini setiap negeri yang ada di semenanjung ini, kawal selianya ditentukan oleh negeri masing-masing.

Akan tetapi apabila berhijrah kepada rejim baru ini, di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air dan SPAN ini, maka kawal selia itu akan disatukan. Maknanya standard law been applied untuk semua negeri yang ada dalam negara ini dan dalam masa yang sama dari segi keuntungan juga akan ditentukan supaya syarikat-syarikat yang mengendalikan operasi bekalan air ini tidak mengaut keuntungan yang terlalu banyak agar tidak membebankan pengguna di masa akan datang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rujuk: 17 November 2008

Tinggalkan komen