MP PAS Rantau Panjang dan Sik: Mencelah penggulungan Kem. Pembangunan Luar bandar

17 November 2008:

Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Sik mencelah penggulungan Menteri Pembangunan Luar badar dan Wilayah, 17 November 2008.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Minta penjelasan. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ingin penjelasan sejauh mana pemantauan yang dibuat oleh pihak kementerian terutama projekprojek yang diluluskan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan sebab apa yang kita dapat maklumat bahawa semua projek-projek ini mesti ditandatangani oleh pemimpin masyarakat ataupun pemimpin Barisan Nasional di negeri Kelantan, sedangkan isu dan masalah rakyat tidak selesai.

Jadi apakah kerjasama yang diberi terutama kepada kami Ahli Parlimen yang berdepan dengan isu masalah rakyat yang sangat kritikal sedangkan peruntukan ini dibuat kerana kepentingan golongan politik yang tertentu. Minta penjelasan.

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Tuan Pengerusi, boleh sambung sikit? Berapa lamakah masa yang diambil oleh kementerian ini untuk memperbaiki jalan ataupun jambatan kampung yang rosak? Ini kerana di kawasan saya, di kawasan Dusun Pengapit itu, jambatan itu telah runtuh tiga tahun yang lalu dan ini amat menyusahkan rakyat di kawasan tersebut. Jadi saya mohon Yang Berhormat Menteri memberi perhatian kepada soal ini. Terima kasih.

Tan Sri Dato’ Muhammad bin Muhammad Taib: Terima kasih Yang Berhormat-Yang Berhormat. Mengenai pemantauan dan juga jumlah peruntukan yang diberi, sememangnya kementerian memberi keutamaan kepada jalan-jalan yang rosak. Kadang-kadang jalan rosak bukan kerana jalan tidak baik tetapi kerana keadaan-keadaan tertentu, banjir dan juga kegunaan jalan oleh lori-lori yang tak sepatutnya menggunakan jalan.

Walau bagaimanapun, kita memperuntukkan sebilangan perbelanjaan untuk memperbaiki jalan-jalan yang rosak. Mengenai pemantauan, tandatangan, saya fikir ini kita kena siasat ya.

Yang kedua mengenai selama mana masa diambil bagi kawasan Yang Berhormat di Sik. Memang benar ada di sesetengah tempat bila berlaku kerosakan jambatan, ia mengambil masa kerana mungkin agaknya pada tahun ini peruntukan untuk kawasan tersebut sudah pun digunakan. Namun demikian, pihak kementerian memang sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat-maklumat untuk menggantikan jambatan-jambatan yang rosak.

Tinggalkan komen