MP PAS Shah Alam: Mencelah penggulungan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

17 November 2008:

Ahli Parlimen Shah Alam mencelah penggulungan Menteri Pembangunan Luar badar dan Wilayah, 17 November 2008

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ya, terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Mungkin yang untuk Sabah dan Sarawak ini kita buat pertandingan yang lainlah. Dulu, kini dan selama-lamanya desa kalau berdasarkan kepada dasar-dasar yang dilaksanakan.

Saya ingin menarik perhatian kepada soal komitmen yang telah disebutkan tadi yang mana KSU dok turun, Menteri dok turun dan sebagainya.

Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah kerajaan ataupun pihak kementerian sanggup memikirkan ganti rugi ataupun ex-gratia kepada KSU, Datuk Abdul Aziz Muhammad yang dulu telah dituduh melakukan penyelewengan dan menghilangkan ataupun CBT tetapi baru-baru ini telah dibebaskan oleh pihak mahkamah dan beliau telah dihukum selama lima tahun penjara.

Walaupun saya difahamkan dia tidak melalui hukuman itu dengan sepenuhnya, akan tetapi pokoknya kalau kita ingin menentukan ada komitmen berterusan, maka pembelaan kepada orang-orang yang telah dizalimi perlu diberi seperti mana yang telah diberi kepada pihak hakim-hakim.

Seterusnya, sekiranya mereka tidak bersalah, maka apakah jawapan kepada tuduhan di mana sebahagian daripada RM40 juta yang diperuntukkan untuk PPRT di Kelantan telah dikatakan diselewengkan. Terima kasih.

Tan Sri Dato’ Muhammad bin Muhammad Taib: Terima kasih Yang Berhormat daripada Shah Alam. Saya fikir kita ada peraturan dan Perintah Am. Aturan dan peraturan. Saya fikir ini akan diikutlah macam mana juga cara-cara yang biasa dan lazim dilakukan oleh manamana kakitangan kerajaan. Mengenai yang lain-lain itu, saya fikir ini tidak dapat saya berikan maklumat pada hari ini.

Yang Berhormat Pendang telah membangkitkan mengenai pemohon dikehendaki mengisi borang UMNO untuk mendapatkan bantuan di bawah Program Bantuan Rumah. Perkara ini adalah tidak benar dan bukan menjadi dasar atau syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tumpat mengenai pemberian bantuan vitamin kepada anak-anak miskin tegar yang perlu dipastikan keselamatan dan tidak mendatangkan mudarat. Pihak kementerian dalam setiap perancangan dan pelaksanaan program telah mengambil langkah tertentu bagi memastikan semua program berjalan dengan baik dan mendatangkan manfaat kepada golongan sasaran.

Pemberian bantuan vitamin di bawah Program Tambahan Makanan Seimbang dilaksanakan dengan perbincangan dan kelulusan bersama Bahagian Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh yang demikian, unsur-unsur keselamatan telah diambil kira sepenuhnya.

Tinggalkan komen