MP PAS Titiwangsa: Mencelah penggulungan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

17 November 2008:

Ahli Parlimen Titiwangsa mencelah penggulungan menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, 17 November 2008.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ingin mendapat penjelasan sebab baru-baru ini berlaku kebakaran di Kampung Sungai Penchala di mana sembilan buah keluarga telah terlibat dan di situ juga melibatkan 60 orang anak-anak yatim miskin yang duduk di rumah anak yatim di situ.

Jadi mereka sehingga kini tidak dapat pembelaan dari bentuk follow-up permasalahan mereka. Jadi apakah Yang Berhormat boleh dilakukan untuk memastikan mereka ini boleh mendapat bantuan untuk membina rumah semula dan juga yang paling penting sekali membina rumah anak yatim yang sekarang ini terpaksa ditumpangkan ke beberapa rumah anak yatim yang lain, terima kasih.

Tan Sri Dato’ Muhammad bin Muhammad Taib: Terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa. Sebenarnya Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, kita sebenarnya bukan hendak membeza-beza tetapi kita cuma dipertanggungjawabkan untuk membina rumah-rumah yang ada di kawasan luar bandar. Kalau dalam kawasan bandar saya ingat dia tergolong di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan ataupun Dewan Bandar Raya. Jadi saya harap, bantuan seperti ini juga ada di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan.

Tuan Pengerusi, bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bandar Tun Razak mengenai berapa banyak medan info desa yang tiada elektrik, susut nilai dalam pembelian komputer dalam tiga tahun dan pelaksanaan melalui kaedah penswastaan. Adalah dimaklumkan sehingga kini tiada kes medan info desa yang tiada elektrik kerana salah satu kriteria utama pembinaan adalah di kawasan yang telah sedia ada bekalan elektrik.

Kementerian sentiasa mengambil kira perubahan yang tepat dalam teknologi ICT. Sehingga kini komputer-komputer yang berumur melebihi enam tahun telah ditukar kepada komputer baru. Berdasarkan pelaksanaan medan info desa diuruskan sendiri oleh kementerian dan tidak melibatkan kaedah penswastaan.

Medan Info Desa Kampung Junak Jaya, Kunak telah siap bangunan tetapi komputer masih belum dipasang. Kelewatan pemasangan komputer adalah disebabkan oleh masalah penyambungan elektrik tiga phase ke bangunan. Walau bagaimanapun masalah ini telah pun diselesaikan dan dijangka komputer akan siap dipasang sebelum akhir tahun.

Tuan Pengerusi, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rantau Panjang mengenai keseimbangan pembangunan luar bandar terutama kemudahan infrastruktur dengan peruntukan kementerian sebanyak RM2 bilion. Adalah dimaklumkan bahawa kementerian melaksanakan dasar liputan 100% prasarana asas utiliti dan ameniti sosial dalam kawasan 30km radius dari bandar pekan kecil.

Sebanyak 60% peruntukan pembangunan bagi tahun 2009 yang berjumlah RM2.78 bilion adalah diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan prasarana asas utiliti dan ameniti sosial. Agihan peruntukan berasaskan negeri di bawah tahap pembangunan yang rendah ataupun kurang maju dan juga negeri yang mempunyai ramai penduduk miskin tegar, negeri Sabah dan Sarawak mendapat peruntukan paling tinggi melebihi 20% daripada peruntukan pembangunan 2009.

Tinggalkan komen