MP Kuala Krai, Pasir Mas dan Gombak mencelah penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

19 November 2008:

Ahli Parlimen Kuala Krai, Pasir Mas dan gombak mecelah penggulungan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 19 November 2008.

Teks penuh:
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Timbalan Menteri menyebut beberapa pejabat-pejabat baru MATRADE yang akan dibuka di beberapa buah negara yang saya rasa merupakan satu langkah yang sangat sesuai dan seperti yang kita cadangkan semalam, negara-negara OIC sepatutnya kita membuka pejabat-pejabat yang baru.

Akan tetapi oleh kerana ada 10 saja tadi, saya hendak tanya. Adakah wakil-wakil MATRADE kita di tempat-tempat disebutkan tadi ini akan hanya melaksanakan tugas di negeri-negeri berkenaan ataupun diberikan kuasa untuk menjaga kawasan-kawasan di sekitar negara-negara berkenaan, kerana kita tidak ada pejabat-pejabat di sesetengah negara tersebut.

Ini mungkin dapat membantu hubungan dagang kita dengan lebih banyak negara berbanding dengan hanya beberapa buah negara yang kita ada pejabat. Mohon penjelasan. Terima kasih.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Terima kasih Yang Berhormat Kuala Krai. Memang oleh kerana kita tidak mempunyai pejabat di semua negara-negara yang tertentu, maka apabila kita tempatkan pegawai di satu kawasan, di sesuatu negara itu, kita memang memberi kuasa kepada pegawai tersebut untuk menyelaraskan keperluan negara-negara yang berjiran ataupun dalam zon di mana beliau bertugas pada ketika itu.

Jadi begitu juga macam di South America, kita tempatkan satu di Chile di mana mereka akan menjadi satu pegawai yang menyelaras semua pembangunan MIDA di kawasan tersebut. Sekian, terima kasih.

Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Pasir Mas telah mencadangkan supaya pemberian AP kereta dibuat secara tender bagi membolehkan lebih ramai usahawan mendapat AP dan kerajaan mendapat dana untuk pembangunan sektor automatif. Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat sekalian, MITI telah pun menjawab soalan yang sama ditanya oleh Yang Berhormat Seputeh pada Khamis, 22 Mei 2008; di mana AP terbuka dan francais hanya 10% daripada pengeluaran kenderaan tempatan pada tahun sebelumnya.

Untuk tahun 2008, peruntukkan AP adalah sebanyak 44,168 saja, bukan lebih 100,000 seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Pasir Mas. MITI pada masa ini sedang mengkaji sistem tender yang dicadangkan dan akan melaksanakan sekiranya ia lebih baik daripada sistem yang sedia ada.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Bangun]

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Krai pula, salah satu syarat AP ialah syarikat perlu menjalankan perniagaan sendiri.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Sebentar, Yang Berhormat.
Dato’ Jacob Dungau Sagan: Iaitu hendaklah menguruskan sendiri pengimportan dan penjualan kereta yang diimport melalui AP.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat Pasir Mas minta jalan, Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Saya habiskan dahulu, Yang Berhormat ya. Sekiranya syarikat didapati melanggar syarat ini, MITI boleh menarik balik peruntukan AP yang diberi. Pada masa ini, MITI sedang menjalankan pengauditan ke atas semua pemegang AP yang sedia ada bagi memastikan syarikat-syarikat yang diberi AP benar-benar mampu menjalankan perniagaan sendiri. Selain dari itu, bagi memastikan syarikat-syarikat pemegang AP terus maju, MITI sedang merangka Pelan Pembangunan Usahawan Bumiputera dalam stor automatif.

Jadi untuk menjawab soalan Yang Berhormat Ipoh Timur pagi tadi yang menyoal tentang AP ini, pengeluaran AP untuk tahun 2008 adalah lebih tinggi kerana untuk mendapat sokongan politik bagi pilihan raya yang lepas. Tuan Pengerusi, dakwaan Yang Berhormat adalah tidak benar kerana jumlah AP yang dikeluarkan tertakluk kepada kuota 10% daripada jumlah pengeluaran kenderaan tempatan bagi tahun sebenarnya.

Berikut ialah peruntukan AP yang dikeluarkan pada tahun 2005 hingga 2008.
TAHUN PERUNTUKAN AP
2005 70,381
2006 60,460
2007 50,304
2008 44,168

Daripada statistik yang telah diberi, dakwaan Yang Berhormat Ipoh Timur adalah langsung tidak benar kerana ini menunjukkan trend yang menurun sejak tahun 2005 hingga 2008.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: [Bangun]

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Sebentar ya. Sebentar, Yang Berhormat. Ya, sila Yang Berhormat Pasir Mas.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ada dua perkara. Pertama apakah pihak kerajaan mengkaji dasar yang diguna pakai oleh negara Jepun dan juga Korea yang merupakan dua negara yang begitu hebat dalam bidang automotif yang mengeluarkan kereta mereka sendiri dan sejauh mana mereka membenarkan pihak luar mengimport kereta ke negara masing-masing. Ditetapkan di negara kita disebut tadi 10% tahun lepas.

Apa yang saya ragui walaupun dikatakan ianya jumlah 10% sahaja daripada permintaan kereta negara kita. Saya ada membuat cadangan supaya ianya diturunkan ke peringkat 5% sebab di Korea dengan Jepun langsung tak boleh masuk kereta-kereta yang diimport ke negara mereka sebab hendak melindungi kepentingan kereta yang mereka keluarkan.

Itu cara Jepun dan Korea yang sudah maju. Saya hendak tanya sama ada kerajaan akan mengikuti dasar yang digunakan oleh Jepun dan Korea.

Kedua iaitu cadangan tender terbuka. Yang Berhormat menyebut tadi kalau cadangan saya ini dianggap baik, apa Yang Berhormat fikir cadangan saya ini tak baikkah? Bila kita kata tender terbuka ini tak payah kita debat pun ianya satu perkara yang baik. Ini adalah sebab kita tahu AP sekarang ini yang dijual di pasaran sampai mencecah RM50,000, RM30,000 jumlahnya.

Saya hendak beritahu kepada Tuan Pengerusi bila saya bercakap semalam ada laporan dalam akhbar Utusan Malaysia. Hari ini saya terima 68 SMS memberi sokongan menghargai, menyokong apa yang saya cadangkan. Jadi ini satu kebaikan untuk kerajaan dari segi integriti kerajaan. Maknanya boleh dulu…

Saya hendak cadangkan dalam penggubalan dasar baru ini katakan ditetapkan 10%, saya cadang 5%. Daripada 5% itu mulakan dengan 1,000 dahulu AP dibuat cara tender terbuka. Start somewhere, mula somewhere dan tengok sejauh mana kesannya. Cukup sudah yang ada AP sekarang ini sudah kaya-raya sudah. Tolong rakyat, tolong jaga kereta nasional negara kita. Sekian, terima kasih.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: [Bangun]

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi jalan Yang Berhormat?
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Isu yang sama.
Dato’ Jacob Dungau Sagan: Isu yang sama? Sila.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri. Timbalan Menteri ada memberikan penjelasan tadi bahawa ada dua jenis AP iaitu AP francais dan juga AP terbuka dan saya menyambut baik usaha kerajaan untuk meneliti semula dasar ini dan menggubal satu dasar yang lebih terbuka dan telus.

Namun, Tuan Pengerusi saya mencadangkan supaya sebelum dasar ini digubal dan diteliti kita harus meneliti apakah masalah sebenarnya yang telah berlaku puluhan tahun. Sebagai contoh Tuan Pengerusi saya ada maklumat di sini semenjak perbahasan ini dibuat secara terbuka masalah utama ialah pemberian AP ini sama ada secara terbuka ataupun francais telah menjadi lubuk kepada rasuah, kronisme dan nepotisme.

Pertama Tuan Pengerusi, AP ini oleh kerana diberikan kepada segelintir penerima sahaja maka yang tidak mendapat AP terpaksa membeli AP seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Pasir Mas tadi RM50,000 satu AP. Masalah yang kedua orang yang mendapat AP dan syarikat yang menerima AP ini akan mendapat keuntungan yang luar biasa tanpa mengambil risiko perniagaan langsung.

Saya beri contoh saya ada senarai penerima AP terbuka bersama saya Tuan Pengerusi. Tahun 2004, 2005 dan 2006, AP terbuka yang dikeluarkan ialah 45,682 dan ianya hanya confine kepada 77 syarikat sahaja. Persoalannya mengapa 77 syarikat sahaja? Kalau dibahagikan secara adil kepada 77 syarikat, satu syarikat akan menerima 600 AP dan kalau kita kali dengan RM50,000 yang disebut oleh Yang Berhormat Pasir Mas. Oleh itu, setiap syarikat mendapat perolehan tunai RM30 juta tanpa apa-apa risiko.

Akan tetapi masalah Tuan Pengerusi ianya tidak diberikan secara adil. Sebagai contoh Naza Konsortium Sendirian Berhad memperoleh sebanyak 8,481 AP terbuka dalam tempoh tiga tahun dan kalau kita kali dengan RM50,000 satu AP mereka mendapat keuntungan tunai RM424 juta. Tak ada risiko. Itu satu.

Kedua, MITI juga pada tahun 2005 telah membentuk satu jawatankuasa untuk meneliti dasar pemberian AP dan juga kelulusan AP tahun 2005. Ketika itu KSU nya ialah Tan Sri Sidek Hassan. Di mana salah satu dasar yang telah diputuskan dalam jawatankuasa tersebut ialah tidak ada lagi pemberian francais AP kepada mana-mana pihak.

Akan tetapi Tuan Pengerusi yang saya hendak dedahkan pada petang ini ialah pada tahun 2006, Tan Sri Sidek Hassan (KSN) hari ini telah meluluskan AP kepada Syarikat Autostart untuk mendapat francais AP Volkswagen pada tahun 2006 tanpa kebenaran dan kelulusan daripada jawatankuasa tersebut. Kita lihat siapa pemegang saham Autostart shares?

Zulkifli Ishak, isterinya Aini Tajul Arus iaitu anak saudara kepada mantan Menteri MITI. Di mana ketelusan? Syarikat yang sama juga memperoleh sebelum itu francais AP clement under Emeritus Equities Sendirian Berhad. Itu yang pertama dan yang kedua.

Apa yang lebih penting Tuan Pengerusi Autostart Sendirian Berhad ini yang diberikan AP francais untuk Volkswagen sampai hari ini tidak ada showroom, yang ada hanyalah dealers untuk menjualkan kenderaan yang berkenaan.

Kedua, Amira Venture Sendirian Berhad pada tahun 2007 dianugerahkan 150 AP dan tahun 2008 – 225 AP dan syarikat yang sama juga tidak ada showroom sehingga hari ini dan Amira Venture Sendirian Berhad mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mantan menteri MITI. Ini persoalan yang harus diteliti Yang Berhormat Timbalan Menteri dalam penganugerahan AP sama ada secara terbuka ataupun francais ianya mestilah secara telus dan adil. Kalau tidak tanpa risiko perniagaan tanpa apa-apa masalah mereka akan memperoleh keuntungan ratusan juta ringgit.

Saya beri contoh secara berfakta dan saya percaya selama puluhan tahun ini sudah berbilion ringgit diperolehi oleh syarikat-syarikat yang ada hubung kait dengan menteri MITI dan perkara ini perlulah dihentikan serta-merta dalam menggubal dasar yang baru. Terima kasih.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, perkara baru seperti ini boleh dijawab secara bertulis Yang Berhormat.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Ya. Terima kasih Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Pasir Mas ada sentuh tentang tender terbuka itu tadi. Saya rasa Yang Berhormat Menteri MITI sudah menjawab perkara ini di mana beliau mengatakan satu kajian pengauditan yang telah dijalankan dengan AP-AP yang sedia ada sekarang dan jika perlu apabila pengauditan itu sudah siap nanti mungkin isu-isu tersebut boleh dikaji dan diambil kira. Itu jawapan MITI kepada soalan-soalan tersebut.

Kita juga membuat kajian dari apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pasir Mas tadi iaitu dengan automotif industri di Jepun dan Korea. Itu mungkin juga faktor-faktor yang boleh kita belajar bagaimana kita boleh memperbaiki lagi keadaan kita menjalankan satu industri seperti ini.

Yang Berhormat Gombak yang menyuarakan dengan panjang sekali tentang perkara itu jika boleh kita memberi satu jawapan secara bertulis seperti yang disebutkan tadi.

Sebelum Menteri menggulung perbahasan:
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin turut sama membahaskan di peringkat Jawatankuasa ini urusan perbelanjaan mengurus dan juga pembangunan MITI yang diberikan tanggungjawab yang besar untuk sama-sama mempromosikan hasil daripada keluaran negara ini dengan membentuk beberapa perbadanan dan juga melaksanakan program-program promosi di luar negara melalui MATRADE dan sebagainya.

Saya ada membangkitkan persoalan di Dewan ini beberapa ketika dahulu kerana kita di sini ada dalam konteks perdagangan antarabangsa, 030000, B.24 ini, kita ada bahagianbahagian kerjasama ekonomi Asean, bahagian kerjasama ekonomi Asia Pasifik dan beberapa bahagian yang lain.

Saya mencadangkan supaya kita secara khususnya mewujudkan satu bahagian yang menangani hubungan dagang dengan negara-negara OIC. Ini kerana dari segi demografi walaupun bukan demografi bangsa tetapi demografi agama dan pegangannya, kita mempunyai kesamaan yang boleh memudahkan urusan perdagangan barang-barang yang halal dan juga sektor-sektor yang dibangkitkan atau yang dibangunkan dalam negara Islam seperti sektor kewangannya.

Jadi dengan adanya satu bahagian yang khusus menangani isu perdagangan dengan negara-negara OIC ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuhkan OIC itu sebagai organisasi sosial sahaja tetapi lebih hebat daripada itu kepada suatu organisasi perdagangan yang boleh menguntungkan semua pihak yang menganggotai OIC kalau tak silap saya ada 65 buah negara di dalamnya.

Mungkin masalah kita OIC ini negara yang berada di dalam semua benua. Jadi dari segi logistiknya, mungkin ianya tidak perspektif tetapi dari segi hasrat perdagangan dan barangan yang kita boleh samakan atau satukan, kita mempunyai dagangan yang besar. Apatah lagi negara-negara OIC lah antara pengeluar minyak mentah yang terbesar di dunia.

Tentulah ini akan dapat menguntungkan kita sebagai peluang untuk memasarkan barangan-barangan kita yang banyak kita kilangkan. Ya, sila.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasih. Saya sokong pandangan Yang Berhormat Kuala Krai ini bahawa negara tidak boleh bergantung hanya kepada negara-negara yang tradisional kita eksport seperti Amerika, Eropah, kita kena beralih kepada market-market, pasaran-pasaran baru. Adakah Yang Berhormat bersetuju… tetapi pejabat-pejabat kita masih lagi negara yang tradisional, MAIDA kah, MATRADE kah. Kalau nak buat pun, kadang-kadang dengan peruntukan yang ada agak lambat.

Kalau kita lewat memasuki pasaran-pasaran baru ini, orang lain akan masuk dahulu. Pada mana walaupun dalam suasana kita sekarang ini mungkin hendak mengawal kos tapi yang penting ini kita kena dahulukan sebagai satu pelaburan akan datang. Adakah Yang Berhormat Kuala Krai setuju? Mungkin Yang Berhormat boleh jemput sekali merasmikan nanti.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin dan Tuan Pengerusi. Memang kita bersetuju dan pada masa akan datang, memang terpaksa pun saya pergi merasmikan. [Ketawa] Dah menjadi tanggungjawab pada ketika itu. Seterusnya saya ingin mencadangkan dalam…
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Laluan sikit.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Ya, sila.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Kuala Krai, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rompin tadi, Yang Berhormat Rompin hari ini bagus, bercakap tidak pecah belah. Yang Berhormat Kuala Krai tadi menyebut tentang Malaysia dan negara OIC, negara Arab ini. Adakah Yang Berhormat bersetuju kalau kita mencadangkan supaya di rantau teluk ini, suasana tidak aman, campur tangan Amerika dan seumpamanya dan negara-negara Arab ini kaya dengan minyak.

Kenapa tidak negara kita, kementerian MITI ini bertindak dengan lebih proaktif dengan menawarkan Malaysia sebagai hab kepada industri petrokimia kerana kita di rantau yang selamat, Asean, ZOPFAN ini di rantau yang selamat. Kita menawarkan supaya negara besar ini, Arab ini menyimpan minyaknya, crude oil mereka di rantau kita dengan itu membina industri petrokimia. Saya rasa ini langkah proaktif yang boleh kita panjangkan kepada negara-negara Arab ini. Apa pandangan Yang Berhormat?

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian, Tuan Pengerusi. Memang kita bersetuju dan overture pun sudah ada dengan izin apabila minyak daripada timur tengah dikatakan akan membuat pendaratan di pantai-pantai di sebelah Kedah. Kemudian disalurkan ke sebelah pantai timur di Kelantan untuk seterusnya dihantar ke timur jauh.

Akan tetapi yang lebih saya bersetuju dengan Yang Berhormat Kubang Kerian tadi ialah memang negara kita itu dijadikan tempat penyimpanan stok mereka dan seterusnya membangunkan industri petrokimia supaya kita dapat menjalankan penapisan sendiri di negara kita ini. Walaupun diterajui atau dibiayai oleh negara kaya dari Timur Tengah ini.

Jadi kita harap MITI mengambil saranan ini supaya difikirkan kerana kesan jangka panjangnya cukup baik untuk Malaysia. Sebab itu saya hendak menyentuh straight kepada P.24 dalam perkara Penubuhan Pejabat-pejabat Tambahan Luar di Negara-negara Di Bawah Penyusunan Semula MIDA ini.

Seperti yang Rompin sebut tadi, kita harus membuat pelaburan dalam membangunkan pejabat-pejabat baru di negara yang tidak conventional. Saya rasa negara-negara yang conventional yang kita sudah mempunyai sejarah perdagangan yang lama, saya rasa cukup hebat sudah. Mencukupilah. Akan tetapi pergilah ke negara-negara baru seperti yang saya cadangkan dahulu seperti Kosovo yang kita sudah iktiraf sebagai sebuah negara merdeka.

Saya sudah pernah melihat negara-negara Kosovo, Albania dan Macedonia yang berdekatan. Mereka mempunyai pasaran yang walaupun tidak besar tetapi pasaran yang agak sentimental kerana mempunyai asas agama yang sama. Albenia, Macedonia dan juga Kosovo.

Jadi mereka tertanya-tanya apakah kita bersedia untuk masuk dan untuk membantu mereka di samping kita juga dapat bertukar-tukar perdagangan dengan negara-negara baru ini. Jadi sebelum orang lain masuk seperti European, kita mendahului dalam hal ini dan saya yakin appreciation dengan izin negara-negara ini kepada kita akan cukup tinggi pada masa akan datang kerana mereka ini negara baru. Baru keluar daripada peperangan, baru keluar daripada pemerintahan kuku besi di bawah Yugoslavia dahulu. Jadi tentulah mereka mempunyai masalah untuk berdagang dengan dunia luar.

Seterusnya saya hendak bertanyakan mengenai Dana Pelaburan Strategik dan Dana Program Berimpak Tinggi yang cukup besar diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan MITI ini. Bidang-bidang mana yang menjadi tumpuan khusus kepada dana-dana ini dan adakah dana ini berbentuk pinjaman-pinjaman kepada mereka yang ingin memulakan projek-projek dan kalau Dana Projek Berimpak Tinggi ini adalah yang baru kerana tahun lepas tidak ada tetapi tahun ini ada, tetapi Dana Pelaburan Strategik sudah ada pada tahun lepas dan tahun sebelumnya.

Malah, tahun ini ditambahkan lagi. Soalan saya adalah bagaimana prestasi pembayaran semula atau pembayaran balik daripada pinjaman-pinjaman daripada dana ini kerana kita boleh mengukur kejayaan pelaburanpelaburan strategik ini daripada kemampuan pembayaran balik oleh mereka yang menggunakan
dana-dana ini.

Begitu juga dalam konteks 00507 – P.24 iaitu Skim Pinjaman Mudah EKS. Saya juga hendak bertanya prestasi pembayaran balik ini kerana kita tidak mahu dana-dana ini dibentuk dan mengeluarkan pinjaman tetapi tidak berlaku penggunaan yang wajar sehingga pembayaran baliknya tidak menguntungkan atau tidak baik dan menjejaskan pula tabung dana ini pada masa akan datang.

Yang terakhir yang saya hendak sentuh ialah mengenai Dana Pembangunan Automatif seperti yang disebutkan oleh rakan-rakan Yang Berhormat yang lain tadi iaitu khusus mengenai approve permit ataupun permit import yang menjadi isu besar dalam negara kita beberapa ketika yang lalu.

Yang Berhormat Pasir Mas mengambil sudut kesan pengeluaran AP yang begitu banyak terhadap industri kereta tempatan. Beliau menegur pemberian AP yang banyak kepada salah sebuah syarikat yang akhirnya kelihatan seolah-olah syarikat ini sebuah syarikat pengeluar kereta nasional sendiri dan ini mungkin menjejaskan dua syarikat pembuat kereta nasional kita.

Saya ingin melihat AP ini secara positifnya iaitu kalau AP ini dikeluarkan untuk membantu peniaga-peniaga automotif yang betul-betul terlibat dengan industri ini mempunyai syarikat dan mempunyai showroom mereka.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronal Kiandee) mempengerusikan Jawatankuasa]
Oleh kerana rakyat Malaysia ini mampu untuk membeli kereta-kereta selain daripada kereta buatan tempatan, tidak salah kalau kereta-kereta luar ini dibawa masuk untuk memenuhi pasaran dan kehendak rakyat. Akan tetapi yang menjadi masalah apabila AP ini diberikan kepada orang-orang yang tidak terlibat secara direct dengan industri automatif ini.

Tidak ada showroomnya dan tidak ada syarikatnya tetapi menjadi business sehelai kertas. Bertukar tangan apabila mendapat AP ini kepada orang lain sehingga akhirnya mereka hanya memperoleh scum dengan izin.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Boleh gulung, Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Sudah hendak habis, ya. Orang lain mendapat kekayaan. Jadi saya bersetuju kalau kepada peniaga-peniaga yang original atau yang betul-betul terlibat ini kita bantu mereka dengan pemberian AP. Untuk menambah pendapatan negara, cadangan supaya AP ini di tender cukup baik. Sekarang ini tender terbuka telah dipersetujui.

Malah ada yang mencadangkan supaya pemilihan pimpinan parti pun di tender tetapi saya bercakap dalam konteks AP ini. Saya bersetuju kalau ia di tender supaya pendapatan negara dapat dipertingkatkan. Jadi, minta maaf Yang Berhormat Rompin. Sentuh-sentuh sikit. Sekian, terima kasih.
Jadi, minta maaf Yang Berhormat Rompin. Sentuh-sentuh sikit. Sekian, terima kasih.

Tinggalkan komen