MP Lembah Pantai, Balik Pulau, Machang dan Shah Alam mencelah penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

19 November 2008:

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Balik Pulau, Machang dan Shah Alam mecelah penggulungan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 19 November 2008.

Teks penuh:
Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya menyambut baik usaha Yang Berhormat apabila mahu memperbaiki penyaluran maklumat untuk SMIDEC, MIDA dan MATRADE terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Akan tetapi memetik kajian yang dibuat oleh ACCCIM yang saya sebut semalam di Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry Malaysia, apakah kementerian dapat mengenal pasti masalah utama yang menyebabkan hanya 5% sahaja IKS usahawan Cina yang memahami tentang agensi-agensi kerajaan yang wujud.

Jadi sebelum kita pergi kepada penyelesaian mungkin dapat kita kenal pasti kenapakah sampai begitu walaupun banyak usaha yang telah dilakukan oleh SMIDEC, MIDA, MATRADE dan sebagainya. Terima kasih.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusof [Balik Pulau]: Menteri boleh saya mencelah sikit, Balik Pulau. Yang Berhormat Menteri semalam saya ada membangkitkan dengan khusus mengenai penyalahgunaan SME fund yang merujuk kepada satu projek di Bertam. Berkaitan dengan satu Abaden Resort dalam ucapan saya dan saya mohon jawapan kerana dia menunjukkan satu jumlah yang besar kerana dikaitkan dengan satu jumlah SME fund kepada seorang yang tidak layak dan projek tersebut tidak termasuk di dalam kategori SME. Semalam saya ada bangkitkan, terima kasih.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Terima kasih Yang Berhormat dari Lembah Pantai. Semalam memang betul Yang Berhormat sentuh perkara ini dan kita nampak ini adalah satu masalah yang mungkin di mana outreach program kita itu tidak sampai kepada mereka ini.

Jadi sekarang ini kita tahu bahawa 50% sahaja yang telah mendapat manfaat dari program ini jadi saya rasa kita ambil perhatianlah tentang masalah tersebut. Dari segi SME fund Yang Berhormat, mana tadi?
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusof [Balik Pulau]: Balik Pulau.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Yang Berhormat Balik Pulau sentuh perkara ini saya rasa saya tidak ada maklumat dengan saya sekarang. Mungkin kita membuat kajian dan memberi jawapan bertulis kepada Yang Berhormat.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusof [Balik Pulau]: Ya, saya mohon jawapan bertulis. Terima kasih
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bangun]
Dato’ Jacob Dungau Sagan: SME juga?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Ya, SME. Saya mendengar jawapan kementerian berkenaan dengan kegagalan outreach kepada peserta IKS. Saya difahamkan pada Julai 2008 Yang Berhormat, telah diwujudkan jawatankuasa khas merasionalisasikan dana kerajaan khusus untuk enterprise kecil dan sederhana. Isunya ialah semua wakil kementerian atau agensi kerajaan atau syarikat milik kerajaan ada menganggotai jawatankuasa ini. 30 orang semuanya tetapi tidak ada wakil industri dan dewan perniagaan.

Jadi bagaimanakah hendak selesaikan akses dan kesesuaian dana SME kalau SME sendiri tidak dijemput memberi input. Saya teliti dalam buku anggaran perbelanjaan ini ada 111 dana di bawah SME, 111. Sama ada ianya merupakan sit fund, commercialization, pelaburan ekuiti dan R&D dalam bentuk geran, modal teroka dan soft loan. Kemudian di bawah MITI sahaja yang saya catat di sini ada 18, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan ada 33 dana.

Di bawah MOF ada 29, di bawah MOSTI ada 14, di bawah Kementerian Pertanian ada sembilan dana, di bawah Kementerian Luar bandar dan Wilayah ada tiga, di bawah Kementerian Teknologi Air dan Komunikasi ada dua, di bawah Kementerian Belia dan Sukan, di bawah KeKkwa ada satu, di bawah Kementerian Komoditi ada satu.

Isunya Yang Berhormat ialah bagaimanakah kalau sekiranya dana-dana ini diselerakkan, pertama dari sudut pengurusan database. Sebab di Bank Negara pun ada juga secretariat SME ini. Di MITI pun ada MECD pun ada. Datanya fragmented dengan izin. Bagaimana hendak selaraskan dana? Bagaimana hendak tahu rekod disbursement of finance. Bagaimana hendak menguruskan dana. Paling penting ialah bagaimana hendak memantau dana ini berjaya atau tidak. Jadi saya mohon penjelasan.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Terima kasih Yang Berhormat dari Machang. Sepertimana yang disebutkan tadi itu memang betul kerana kita mempunyai banyak dana-dana untuk membantu syarikat-syarikat di bawah SME ini. Jadi MITI menjadi satu secretariat untuk semua jawatankuasa yang telah ditubuhkan yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi.

Semua kementerian memang tentu menjadi ahli dalam jawatankuasa tersebut. Jadi perhubungan dengan pihak SME ini ialah kita dari masa ke semasa memang mengadakan dialog dengan pihak wakil-wakil persatuan dan penubuhan. Di sanalah kita menerima masalah-masalah yang dikemukakan oleh mereka ini. Jadi kita tidak dapat membawa semua persatuan-persatuan itu dalam jawatankuasa tersebut oleh kerana ini akan menimbulkan satu masalah di mana terlalu banyak ahli-ahli jawatankuasa tersebut dalam jawatan itu.

Jadi mungkin kesannya ataupun kecekapannya tidak dapat diperoleh jika terlalu banyak ahli-ahli yang ada dalam jawatankuasa tersebut. Jadi kita perlu fokuslah dan dari keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu barulah kita dapat mempunyai perhubungan yang rapat dengan persatuanpersatuan
atau penubuhan-penubuhan pihak SME ini ataupun pekilang dan yang lain-lain lagi.

Isu database ini tadi memang MITI mempunyai database yang cukup dan juga kita mempunyai satu yang disebutkan satu team program matriks yang diadakan. Di mana kita mempunyai ICT linkage di tiap-tiap kementerian dan juga di tiap-tiap pejabat kita di luar negara.

Jadi isu database ini memang kita ada di peringkat pejabat MITI dan begitu juga di pejabat MIDA, begitu juga di MATRADE. Jadi semua database ini memang di simpan di sana. Jika perlu sesiapa yang ingin melihat ataupun mengetahui apa yang dijalankan dari segi kegiatan agensiagensi di bawah MITI ini boleh mendapatkan data tersebut di ketiga-tiga pejabat itu. MITI, MIDA dan juga MATRADE.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: [Bangun]
Dato’ Jacob Dungau Sagan: Jadi Yang Berhormat biarlah saya meneruskan dulu …
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya sambung sikit sahaja Timbalan Menteri. Sikit saya hendak tanya Timbalan Menteri. Sekian lama memang saya hendak tanya.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Berkaitan dengan SME?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: SME. Tuan Pengerusi, saya berkesempatan juga berbincang dengan mereka terlibat langsung bertanggungjawab dalam SME ini. Pendek sahaja soalan saya. Kerana banyakkannya kementerian dalam bahasa mudahnya over management kot. Satu sektor yang begitu penting telah pun dijelaskan oleh Timbalan Menteri tadi.

Bagaimanakah kita boleh merungkaikan persoalan istilah yang digunakan tadi, merasionalisasikan kembali pengurusan SME ini khususnya dalam mendepani krisis kerana terlalu banyak kementerian yang bertanggungjawab dan di situ dengan tough mentalitinya, dengan kecemburuannya.

Akhirnya kita tidak dapat menyaksikan SME kita kepada paras yang lebih dihajatkan yang merupakan industri yang dikatakan tadi paling penting sama ada workforce nya sama ada apa jua yang lain. Terlalu banyak kementerian yang over lapping responsibility jurisdiction. Ini masalah yang sekian lama diperhatikan tapi sehingga kini dapat tidak diselesaikan.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Terima kasih Yang Berhormat. Apa Yang Berhormat sebutkan itu adalah betul. Oleh sebab itulah kerajaan sekarang ini telah membuat kajian di mana kita menubuhkan satu badan yang timbul dari SMIDEC dan di namakan SME Corp. Jadi dengan adanya SME Corp. ini nanti dia akan dapat menyelaraskan semua geran-geran yang dijalankan oleh semua kementerian berkenaan dengan IKS.

Jadi undang-undang SME Corp. ini akan di bentang mungkin bulan Mac nanti dan apabila ini dapat diluluskan, kita akan terus menjalankan satu agensi yang disebutkan SME Corp. ini yang diambil alih oleh SMIDEC nanti.

Jadi kita berharap pada masa akan datang ini akan terus menyelaraskan semua urusan-urusan yang kita perlu buat untuk menjalankan usaha kita menambah baik strategi-strategi kita yang ada dalam SME ini. Tuan Pengerusi saya teruskan …

Tinggalkan komen